Thursday, December 3, 2009

KEKEJAMAN PEMIMPIN KOMUNIS

Kekejaman Chin Peng tak boleh dimaaf


Blog, akhbar Cina sokong hasrat bekas ketua PKM kembali seolah-olah perlekeh kerajaan

KELMARIN adalah ulang tahun ke-20 perjanjian Hatyai yang membawa kepada berakhirnya pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang bersetuju meletakkan senjata. Sebagai menghormatinya, Malaysia memberi kelonggaran untuk menerima kembali rakyat Malaysia yang terpesong itu jika mereka mohon dan mematuhi beberapa syarat.

Mereka yang tidak ingin kembali ke tanah air, akan diterima Thailand untuk terus berada di negara itu. Berikutan itu, kira-kira 400 orang bekas pengganas kembali untuk menghabiskan masa mereka bersama sanak saudara di Malaysia manakala 800 orang lagi memilih terus tinggal di Thailand.

Malah, ada juga lebih 20 rakyat Singapura yang mahu kembali ke negara mereka tetapi tidak dilayan. Angka ini didedahkan oleh Fang Chuang Pi, orang kanan Chin Peng dan warga Singapura yang pernah digelar sebagai The Plen (plenipotentiary) oleh Lee Kuan Yew kerana memainkan peranan sebagai perantara dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan Komintern (Jawatankuasa Komunis Antarabangsa) pada 1950-an.


Fang sudah meminta jasa baik Lee mengikut jejak Malaysia untuk membolehkan rakannya itu kembali ke republik terbabit. Permintaan itu dibuatnya melalui satu pertemuan dengan akhbar Nanyang Siang Pau pada Julai 1997.

Bagaimanapun hasratnya itu ditolak bulat-bulat oleh Lee dua minggu kemudian melalui satu kenyataan yang disiarkan The New Paper di Singapura. Bagi mereka, tidak pula sesiapa yang hendak membela?

Antara kira-kira 800 bekas anggota PKM yang memilih untuk terus tinggal di Thailand ialah Chin Peng kerana tidak bersetuju dengan syarat membolehkannya kembali. Malah dia yang menetapkan syarat iaitu antaranya kerajaan hendaklah menerimanya kembali sebagai jaguh menentang penjajah.

Kini, menjelang ulang tahun ke-20 perjanjian itu, ceritanya berubah. Dia sudah berhasrat mahu kembali. Ini sudah diatur demikian rupa dengan mendapat simpati beberapa akhbar dan portal berita tertentu menyokong kepulangannya.

Propagandanya adalah berikutan kegagalannya mendapat perintah mahkamah membenarkannya kembali. Permohonannya itu ditolak hingga ke Mahkamah Persekutuan pada April lalu kerana gagal mengemukakan bukti dia dilahirkan di sini atau dia adalah warga Malaysia.

Chin Peng sebelum itu menerbitkan sebuah buku Alias Chin Peng: My Side of History pada 2003 yang cuba mengaburkan kekejaman PKM serta peranannya sebagai pemimpin pengganas yang membawa kesengsaraan kepada seluruh rakyat.

Hasilnya kini ramailah yang bersimpati pula dengannya hingga terus saja mahu melupakan kezaliman puaknya yang menindas, membunuh orang yang tidak berdosa serta menyebabkan kesengsaraan kepada ramai rakyat negara ini.

Agak malang ada pula yang menganggapnya pejuang untuk membebaskan negara ini daripada belenggu penjajahan. Malah ada yang menyatakan Chin Peng juga pejuang kemerdekaan dan seorang patriot. Begitu mudahnya mereka ini mahu melupakan bahawa Chin Peng menentang kerajaan yang dipilih rakyat hingga 1960 � tiga tahun selepas kemerdekaan, apabila darurat diisytiharkan tamat.

Apapun, Chin Peng kemudian mencetuskan 'Darurat Kedua' yang hanya tamat pada 1989 dengan perjanjian di Hatyai itu. Mengikut Paul Kiong, pegawai polis dari Bahagian Khas, Chin Peng mempergunakan peristiwa 13 Mei 1969 untuk mencetuskan kacau bilau dengan menghantar 120 pejuangnya ke Kedah, Perak dan Pahang. Apakah tindakan begini boleh dianggap seorang pejuang untuk membebaskan negara?

Setelah gagal mendapatkan perintah mahkamah membolehkannya menetap di sini, pelbagai kempen melalui beberapa akhbar dan portal berita digunakannya untuk menyokong hasrat itu. Maka dengan itu timbullah pelbagai penulisan khususnya dalam akhbar Cina dan Inggeris tertentu dan pelbagai blog dan portal berita yang dikatakan bebas tetapi terang-terangan berterusan memperlekehkan pemerintah.

Akhbar serta blog tertentu yang bersimpati dengan Chin Peng, juga memberi ruang kepada pembaca yang menyokong bekas pengganas itu. Kononnya dia sudah tua dan hanya ingin menghabiskan hayatnya di tempat dia dilahirkan. Apakah hasrat murninya itu pun tidak boleh diterima?

Kononnya dengan menolak permintaan Chin Peng itu, Malaysia mengkhianati perjanjian yang ia sendiri memeterai kerana tidak mematuhi peruntukan yang menjamin sesiapa saja antara anggota PKM yang mahu kembali dibenarkan.

Mereka ini sengaja tidak menghiraukan keseluruhan peruntukan itu yang menetapkan bahawa kelonggaran itu tertakluk kepada satu had jangka masa dan bukanlah buat selama-lamanya selain tertakluk kepada beberapa syarat lain. Kini tempoh had itu sudah pun berlalu. Jadi bagi Chin Peng dia sudah terlewat, seperti kata pepatah 'sesal kemudian tak berguna'.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai yang menghadiri rundingan membawa kepada perjanjian Hatyai itu sebagai Penolong Pengarah Bahagian Khas, melawat kawasan penempatan bekas PKM di selatan Thailand sebanyak tiga kali untuk meninjau keadaan mereka. Dan dalam pertemuannya dengan Chin Peng ketika itu, pemimpin PKM terbabit tidak pula pernah menyatakan hasratnya untuk kembali ke kampungnya, kata Norian.

Malangnya mereka terus menerus berjuang untuk membolehkan Chin Peng kembali. Kenapa beberapa bekas ketua PKM, semuanya yang dinamakan itu adalah Melayu seperti Rashid Maidin, Samsiah Fakeh, Zainon Ah Yan, Suraini Abdullah dan Abu Samah Mohamad Kassim dibenarkan kembali.

Apakah usaha ini tidak menunjukkan mereka itu sengaja menjadikan perkara ini sebagai satu isu perkauman? Mereka tidak pula menyatakan bahawa majoriti daripada 400 orang bekas PKM yang dibenarkan kembali, adalah berketurunan Cina.

Jelas sekali mereka ini sengaja memutarbelitkan fakta. Samsiah Fakeh seperti juga Musa Ahmad dibenar kembali sebelum perjanjian itu lagi. Malah mereka ini dituduh sebagai pengkhianat oleh PKM. Rashid Maidin dan Abdullah CD terus berada di selatan Thai dan tidak berhajat untuk kembali. Rashid dibenarkan kembali buat seketika untuk menemui saudara maranya dan kemudian pulang semula ke Thailand.

Tetapi dengan sebab sifat perkauman mereka, perkara ini pun dijadikan isu kaum kononnya kerajaan hanya membenarkan Melayu saja pulang. Inilah dia warga kita yang kononnya mahu menegakkan keadilan tetapi selalunya melihat berbagai perkara daripada sudut kesempitan pemikiran perkauman mereka. Dan dituduh pula akhbar Melayu yang bersifat perkauman hanya kerana tidak sokong pemulangan Chin Peng. Pada hal mereka inilah yang benar-benar bersifat perkauman.

Jadi tidak menghairankan bagaimana pelbagai pihak yang ingin sangat melihat Chin Peng dibenarkan kembali ke Sitiawan cuba pula menidakkan kekejamannya menindas dan membunuh rakyat yang tidak berdosa. Mereka seolah-olah mahu memutihkan kekejaman yang dilakukan PKM ketika mere-ka bermaharajalela menyerang dan membunuh rakyat negara ini yang tidak sehaluan dengan mereka.

Mereka mengatakan pula kalau Jepun dan Jerman yang mencetuskan Perang Dunia Kedua yang membawa kepada berjuta terbunuh atau cedera dan terpaksa mengalami keperitan hidup pun kini sudah boleh diterima kembali, kenapa Chin Peng tidak boleh dimaafkan.

Jelas sekali mereka sengaja cuba mengabui mata rakyat. Jerman dan Jepun adalah negara tetapi jika pemimpinnya, Hitler masih hidup sudah tentu dia dihadapkan ke muka pengadilan Nuremburg seperti nasib ketua Nazi lain. Demikian juga halnya bagi Jeneral Tojo.

Sebenarnya Chin Peng sepatutnya sudah insaf dia tidak pula dibawa ke pengadilan untuk menghadapi tuduhan pembunuhan dan pelbagai perlakuan ganasnya ketika memimpin PKM seperti dipersetujui di Hatyai 20 tahun lalu itu.

No comments:

Post a Comment