Sunday, January 17, 2010

Kepala El Teo bernilai RM7.35 juta


KEMENANGAN besar diraih pasukan polis Tijuana yang berusaha keras memerangi kumpulan kartel ganas di Mexico apabila Raja Dadah, Teodoro Garcia Simental berjaya ditahan di La Paz.

Lelaki Mexico yang paling dikehendaki dan dikenali sebagai El Teo itu dikatakan bertanggungjawab ke atas pertumpahan darah di sempadan Mexico, menjauhkan pelancong dan menyebabkan ketegangan sosial di selatan Baja California, Mexico.

Malah nilai yang diletakkan pada kepalanya mencecah RM7.35 juta (AS$2.1 juta).

Menurut pihak berkuasa tempatan, Garcia menguruskan rangkaian penculikan secara besar-besaran, menahan mangsa di dalam sangkar, dan merupakan individu di sebalik kekejaman yang mencemarkan Tijuana dengan darah kira-kira lima mayat dalam sehari.

Minggu lalu, seorang mangsa culik ditemui dengan mukanya dihiris dan dijahit pada sebiji bola ragbi. Pada bola itu ditinggalkan sekeping nota yang ditujukan kepada pihak polis yang berbunyi: "Selamat Tahun Baru, kerana ini merupakan sambutan terakhir kamu."

Sebelum itu, Santiago Meza, 'tukang masak sup' Garcia yang ditahan memberitahu wartawan dia dibayar RM2,100 (AS$600) seminggu untuk melarutkan sekurang-kurangnya 300 mayat sejak 10 tahun yang lalu.



Akhbar Los Angeles Times, yang membuat liputan berterusan tentang perang dadah di sempadan Mexico, melaporkan bahawa Garcia sering meninggalkan cebisan mayat di dalam tong di tepi jalan besertakan mesej yang mengancam untuk menjadikan musuh mereka sup pekat Mexico, pozole.


Dia seorang lelaki misteri. Tarikh lahirnya tidak diketahui. Dia berumur dalam lingkungan 30-an dan hanya satu gambarnya yang pernah tersiar di dalam akhbar sepanjang hayatnya.

Memetik akhbar Los Angeles Times, Garcia bermula sebagai penggempur dalam kartel Arellano Felix dan semakin berkuasa apabila menculik doktor, ahli politik dan ahli perniagaan dan menjadikannya industri yang bernilai jutaan dolar.

Garcia meninggalkan kartel itu pada 2008 dengan cara yang penuh dramatik sehingga mengorbankan 14 nyawa.

Sejak itu, Garcia menonjolkan keganasannya termasuklah menghiris wajah mangsanya dan menggantung mereka di jambatan.

Kebanyakan daripada mesej yang ditinggalkan pada mayat menyatakan mangsa ditinggalkan dalam keadaan begitu oleh Garcia.

Geng Mexico merupakan pembekal terbesar marijuana, metamfetamin, kokain dan heroin ke Amerika Syarikat (AS).

Pada tahun 2006, Presiden Mexico, Felipe Calderon, melancarkan perang terhadap kartel-kartel yang ada di negara itu, menyebabkan tercetusnya insiden-insiden ngeri dan ganas.

Lebih 15,000 orang terbunuh dan kebanyakan mangsa didera atau dicacatkan sebagai menghantar mesej kepada polis dan geng lawan.Anggota polis dan keluarga mereka pula dibunuh.


Pada Oktober 2008, tiga mayat polis tidak berkepala disusun dengan enam mayat lain, juga tanpa kepala untuk mengeja 3 L atau Tres Letras yang merupakan nama timangan Garcia.


Penahanan Garcia merupakan kemenangan besar kedua kerajaan Mexico dalam tempoh sebulan. Disember lalu, seorang lagi Raja Dadah, Arturo Beltran Leyva, terbunuh dalam satu kejadian tembak-menembak dengan pihak berkuasa.

Sumber : Kosmo Online

No comments:

Post a Comment