Gempa bumi berukuran 7 pada skala Richter dan mengorbankan lebih 100,000 orang Rabu lalu, sekadar menambahkan lagi derita penduduk di Kepulauan Caribbean itu.
GEMPA bumi yang memusnahkan bandar Port-Au-Prince, pada Rabu lepas bukanlah bencana yang pertama kali berlaku di Haiti.
Kejadian pertama telah melanda di kepulauan Hispanolia itu pada tahun 1751 semasa masih di bawah penjajahan Perancis.
Kejadian kedua pula terjadi pada 3 Jun 1951 berdekatan dengan Port-Au-Prince dan Saint Domin-gue yang mengorbankan kira-kira 15,000 orang.
Gempa berulang buat kali ketiga di daerah Cap-Haitien dan beberapa daerah lain termasuk utara Haiti serta Republik Dominican pada 7 Mei 1842. Diikuti dengan bencana yang sama, ia turut terjadi pada tahun 1946 dan 1992.
Gempa sekuat 7 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 4.53 petang (pukul 5.53 pagi waktu Malaysia), Rabu lalu itu, berpusat 15 kilometer dari barat Port-au-Prince pada kedalaman lapan kilometer.
Dalam kejadian tersebut, bangunan Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Komunikasi dan Budaya, Istana Kehakiman, Sekolah Kebangsaan Bagi Pentadbiran, Pejabat Serantau Caribbean Agence universitaire de la Francophonie (AUF), Parlimen, dan Port-au-Prince Cathedral turut musnah.
Anggaran kematian ialah sebanyak 100,000 orang. Kebanyakannya terdiri daripada orang awam, walaupun jumlah yang paling banyak tercedera dan terbunuh ialah warga asing.
Mayat mangsa yang terkorban dan cedera bergelimpangan di atas jalan raya dengan berpuluh-puluh gegaran susulan terus berlaku di negara pesisiran Laut Caribbean itu.
Wartawan Associated Press yang berada di Port-au-Prince berkata, kerosakan akibat gempa bumi paling kuat pernah melanda Haiti sejak lebih dua dekad lalu itu sangat mengerikan, walaupun negara itu sering berhadapan dengan tragedi dan bencana.
Wanita-wanita yang diselaputi debu merangkak keluar dari celah runtuhan sambil menjerit meminta tolong ketika ramai penduduk lain bertempiaran di jalan raya bagi menyelamatkan diri.
Beribu-ribu bangunan musnah di seluruh bandar besar itu dan udaranya penuh dengan debu runtuhan selama beberapa jam.Kebanyakan bangunan di Haiti tidak kukuh dan bahaya diduduki.
BIARPUN dunia menganggap voodoo sebagai sihir jahat, penduduk tempatan sebaliknya menggunakannya untuk mengubati penyakit.
"Hospital yang ada tidak dapat menampung jumlah mangsa yang cedera. Haiti perlu berdoa. Kita semua perlu berdoa bersama-sama," kata seorang doktor dan bekas senator, Louis-Gerrard Gilles.
Di sebuah runtuhan bangunan apartmen empat tingkat, seorang remaja berusia 16 tahun berdiri di atas sebuah kereta, cuba mengintai ke dalam runtuhan ketika sekumpulan lelaki menarik kaki yang tersembul untuk mengeluarkannya.
Pengaman PBB, kebanyakannya dari Brazil, cuba menyelamatkan mangsa yang masih hidup di celah runtuhan ibu pejabat setinggi lima tingkat itu.
Namun ketua pasukan penyelamat, Alain Le Roy berkata, setakat malam Jumaat lalu tiada siapa berjaya dikeluarkan.
Negara itu berisiko tinggi mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi kerana faktor geografinya yang bergunung-ganang dan dikelilingi air laut.Sudah lama menderita
Kira-kira 9,000 anggota pengaman berada di Haiti sejak berlaku pemberontakan menggulingkan presidennya pada tahun 2004.Sebenarnya, tanpa gempa bumi pun, rakyat Haiti telah lama menderita.
Turut digelar sebagai Negara Hamba, Haiti diiktiraf sebagai sebuah republik kulit hitam yang pertama mendapat kemerdekaan di dunia iaitu pada 1 Januari 1804.
Seperti Guinea, Cuba dan juga Korea Utara, republik itu merupakan salah satu negara yang paling serius menghadapi masalah hak asasi di kalangan Negara Dunia Ketiga.
Negara yang pernah kaya dengan pelbagai khazanah itu juga merupakan negara termiskin di dunia dengan 80 peratus daripada sembilan juta penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan.
Kekurangan nutrisi pemakanan bukanlah disebabkan oleh ketiadaan ilmu, sebaliknya ia terjadi kerana dibelenggu kemiskinan.
Beras dan biji-bijian dianggap sebagai hidangan setempat dan biasanya dimakan oleh masyarakat yang hidup di kawasan bandar.
Masyarakat luar bandar pula menikmati makanan tradisional seperti ubi keledek, ubi kayu, keladi, jagung, beras, kacang pis, kacang panjang, roti dan kopi.
Golongan lelaki selalunya memonopoli semua peluang pekerjaan termasuk guru, doktor dan ahli politik walaupun wanita turut mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Wanita pula kebanyakannya diberi tanggungjawab memasak, mengemas rumah dan membasuh kain dengan menggunakan tangan.
GEMPA bumi yang melanda Haiti minggu ini merupakan tragedi paling buruk dalam sejarah negara itu sejak dua dekad lalu.
Bagi wanita dan kanak-kanak di luar bandar, mereka bertanggungjawab untuk mendapatkan air dan kayu api, menanam dan juga menuai.
Menyentuh tentang keunikan di negara tersebut, tetamu yang bertandang ke rumah tidak pernah pulang dengan tangan kosong atau tanpa minum kopi, atau sekurang-kurangnya diiringi ucapan 'maaf'.Kegagalan berbuat demikian akan dianggap sebagai tidak beradab.
Wanita dan lelaki terutamanya, akan memegang tangan di khalayak ramai sebagai tanda persahabatan yang selalunya disalahtafsirkan oleh masyarakat luar sebagai homoseksual.
Haiti juga terkenal dengan kepercayaan agamanya yang popular, iaitu 'berkhidmat untuk iwa' oleh pengamalnya namun dikenali sebagai voodoo oleh masyarakat luar.
Walaupun upacara tersebut telah distereotaipkan oleh dunia luar sebagai 'sihir jahat', voodoo sebenarnya ialah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan sesuatu penyakit.
Sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment